VILLAREAL 2 ATLETICO MADRID 1

Diego Simeone mengaku bertanggungjawab di atas kekalahan dramatik 2-1 Atletico Madrid di Villarreal yang membuatkan pemburuan gelaran LaLiga semakin samar.


Penalti kontroversi yang disempurnakan Antoine Griezmann memberikan Atletico pendahuluan 1-0 untuk mereka merapatkan jurang dengan Barcelona kepada lapan mata.

Bagaimanapun, selepas Griezmann dikeluarkan susulan terlepas beberapa peluang terbaik, Unal menghukum pelawat dengan meledak dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir.

Simeone dibatasi pilihan di bahagian benteng berikutan kecederaan yang melanda Juanfran dan Filipe Luis yang tercedera ketika menentang Lokomotiv Moscow dalam Liga Europa.

Percaturannya mengeluarkan Vitolo dan digantikan dengan Angel Correa memakan diri -- pemain sayap itu dibuang padang pada masa kecederaan selepas bertembung dengan Nicola Sansone -- sementara perjudian memperkenalkan Fernando Torres (menggantikan Koke) ketika keputusan terikat 1-1 membuatkan Atleti sukar mengubah taktikal.

Unal yang tidak dikawal menjaringkan gol kemenangan untuk melanjutkan rekod tanpa kalah Villarreal dengan Atleti kepada enam perlawanan, lalu Simeone mengakui tersilap langkah.

"Saya berasakan kekalahan ini berpunca daripada saya sendiri," kata Simeone.

"Pemain telah berusaha keras dan saya gagal membantu mereka melalui keputusan yang saya buat. Saya mungkin silap percaturan.

"Ia perlawanan yang sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki ciri-ciri yang hampir sama. Kami tampil baik pada babak pertama dan kami mengendalikannya dengan baik pada separuh masa kedua. Mereka mengambil kesempatan daripada dua peluang terhidang.

"Perincian membantu kemenangan mereka dalam aksi sengit ini," ujarnya.

Atletico berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan ke-12 dalam 13 perlawanan sebelum tumbang pada penghujung permainan awal pagi tadi -- kekalahan di Barcelona pada awal bulan ini merupakan kekalahan tunggal mereka kebelakangan ini.

Biarpun tumpas 2-1 di Villarreal -- tercicir 11 mata di belakang Barca dengan baki sembilan perlawanan lagi -- Simeone belum bersedia untuk melepaskan gelaran LaLiga itu.

"Kami masih berada di landasan sama, cuba melakukan sehabis mungkin," kata Simeone.

"Kami melakukan banyak perkara menarik, begitu juga pendekatan buruk, namun kami masih memikirkan untuk meraih lebih banyak mata.

"Kami perlu memenangi lebih banyak mata dan pada lima hari terakhir nanti, barulah kami tahu di mana kami akan berada."

Tatkala Simeone mengakui kesilapan taktikalnya, Saul Niguez pula menyalahkan Atletico yang gagal menangani situasi bola mati.

"Kami sukar menjelaskannya, mereka memanfaatkan kesempatan yang ada di atas dua kegagalan kami bertahan dengan baik. Hari ini kami bermula dengan baik, namun dua kesilapan taktikal membebankan kami," kata Saul kepada SPORTS.

"Situasi bola mati mereka berbeza, mereka mantap dalam aspek itu dan mereka telah mengalahkan kami.

"Kami tidak perlu memikirkan soal kedudukan liga, sebaliknya fokus kepada perlawanan dan melakukan perkara yang betul."