Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, mempertahankan gandingan dua bintang serangannya, Luis Suarez dan Antoine Griezmann, yang mempamerkan permulaan perlahan dalam LaLiga musim ini.

Pasukan juara Sepanyol itu terikat 0-0 dengan Athletic Bilbao dalam perlawanan LaLiga hujung minggu lalu, hanya beberapa hari selepas turut terikat tanpa jaringan dengan FC Porto dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Suarez hanya sekali menemui sasaran dalam enam penampilannya musim ini manakala Griezmann pula masih belum menjaringkan sebarang gol selepas tiga kali beraksi sejak kepulangannya daripada Barcelona.

"Saya amat yakin dengan kesemua pemain saya. Saya sedar Luis merupakan pemain terakhir yang menyertai kami bersama (Angel) Correa, (Kieran) Trippier dan (Ramon) Lodi," kata Simeone.

"Mereka adalah kumpulan terakhir yang menyertai pramusim kami. Kemudian, dalam waktu rehat antarabangsa, dia semakin pulih sepenuhnya. Dia perlu mengelak daripada terus berdepan masalah fizikal.

"Kini, adalah normal untuk dia memerlukan masa untuk kembali cergas tetapi dia sudah pasti dapat melakukannya kerana dia pemain penting kami," katanya.

Mengenai Griezmann pula, Simeone menambah: "Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap Antoine. Dia pemain yang amat penting buat pasukan ini dan kesemua yang perlu saya perkatakan kepadanya adalah apa yang saya lihat berdasarkan prestasinya dan aspek mana yang saya mahu dipertingkatkannya, dan saya juga sudah memberitahunya perkara itu."

Atletico seterusnya akan bertandang ke laman Getafe bagi perlawanan LaLiga awal pagi esok.