ATLETICO MADRID 2 LAS PALMAS 3 (AGG 4-3)

Diego Simeone berkata kemaraan Atletico Madrid ke suku akhir saingan Copa del Rey lebih penting biarpun rebah dalam aksi timbal balik kepada Las Palmas.

Las Palmas mempamerkan kebangkitan untuk meraih kemenangan 3-2 dalam pertemuan mereka di Vicente Calderon, namun Atletico mampu menghela nafas lega untuk memastikan kemaraan dengan agregat 4-3.

Antoine Griezmann dan Angel Correa menyumbat gol pada babak kedua untuk Atletico berada di landasan tepat selepas meraih kemenangan 2-0 dalam aksi pertama, bagaimanapun kehilangan tumpuan di penghujung perlawanan menyaksikan Madrid dibolosi dua gol.

Ketua jurulatih Atletico, Simeone, bagaimanapun mahu memberi fokus kepada aspek positif dengan memberitahu wartawan: "Tidak bagus untuk kalah, tetapi kemaraan ke suku akhir adalah lebih baik daripada kekalahan ini," kata Simeone.

"Aksi dalam lima minit terakhir permainan tidak bagus. Tapi saya tetap mengambil positif perlawanan ini."

Jaringan Griezmann pada babak kedua menambah koleksi golnya kepada angka tiga dan Simeone berkata; "Apabila Griezmann menjaringkan gol, dia kelihatan bermain dengan lebih baik. Namun, ada beberapa perlawanan yang dia tidak menjaringkan gol biarpun beraksi dengan lebih baik.

"Jelas sekali, adalah lebih bagus buat kami andai dia menjaringkan gol. Dia telah membuka permainan."

Tambah Correa yang menjaringkan gol selepas Marko Livaja menyamakan kedudukan buat Las Palmas: "Saya gembira kerana adalah manis untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan tapi kami perlu terus bekerja keras untuk menghadapi segala rintangan."

Sambung Simeone lagi: "Saya berasakan ia adalah aksi sempurna secara keseluruhannya.

"Correa terus mempamerkan peningkatan seperti mana dia selalu mencipta peluang dan sentiasa melakukan asakan di depan gol. Dia akan menjadi kunci dalam serangan."