Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, memuji aksi yang ditampilkan Girona dan menjelaskan peluang pasukan itu masih terbuka dalam Copa del Rey musim ini.

Aksi di Stadium Municipal de Montilivi awal pagi tadi menyaksikan Atletico dan Girona terikat 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16.

Kelebihan daripada jaringan awal Antoine Griezmann pada minit kesembilan dipadamkan Anthony Lozani pada minit ke-34.

Ketika pasukannya akan menanti kunjungan Girona dalam perlawanan timbal balik di Wanda Metropolitano minggu depan, Simeone berasakan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan.

"Girona pasukan yang kuat dan bermain dengan amat lancar.

"Dalam bola sepak Sepanyol, setiap pasukan mampu menjadi ancaman.

"Peluang ketika ini masih terbuka, kedua-dua pasukan memiliki peluang sama rata.

"Kami akan menantikan perlawanan itu minggu depan," katanya.

Keputusan itu sudah cukup untuk Atletico mengekalkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah mereka.

Bagaimanapun, Simeone berdepan rekod tanpa kemenangan berdepan Girona (empat keputusan seri) sejak menjadi ketua jurulatih Rojiblancos.

Baginya, Atletico telah menampilkan peningkatan dalam babak kedua perlawanan itu.

"Ia perlawanan yang dinamik di antara kami dan Girona.

"Mereka memberikan kesukaran kepada kami sepanjang babak pertama.

"Kami cuba beraksi menyerang dan bermain dengan lebih baik dalam separuh masa kedua," tambahnya.