Diego Simeone memahat namanya dalam buku sejarah Atletico Madrid selepas menewaskan Villarreal awal pagi tadi.

Jurulatih berbangsa Argentina itu meraikan kemenangannya yang ke-308 sepanjang mengemudi pasukan itu ketika Atletico meraih kemenangan 2-0 ke atas Villarreal dalam aksi LaLiga di Estadio de la Ceramica.

Gol sendiri daripada Alfonso Pedraza dan penyudah kemas Joao Felix memastikan kemenangan itu dan mengukuhkan kedudukan Atletico dengan kelebihan lima mata di puncak liga.

Dengan kemenangan itu, Simeone menyamai rekod Luis Aragones sebagai jurulatih Atletico paling banyak meraih kemenangan dalam kesemua kejohanan.

Kemenangan terbaru Simeone itu diraih dalam perlawanannya yang ke-512 sebagai jurulatih manakala Aragones mencapai kemenangan ke-308 bersama kelnn itu dalam perlawanan ke-612.

Daripada jumlah itu, Atletico merekodkan 120 keputusan seri dan hanya tewas sebanyak 84 kali di bawah kendalian Simeone, yang mengambil alih kelab itu pada 23 Disember 2011 untuk menjadi jurulatih paling berjaya dalam sejarah mereka.