SEVILLA 1 ATLETICO 0

Diego Simeone menegaskan Atletico Madrid sama sekali tidak berasa goyang setelah pendahulu LaLiga itu sekali lagi tumbang biarpun mempersoalkan keamatan barisan pemainnya.


Kelab ibu negara Sepanyol itu menempa kekalahan 0-1 kepada Sevilla, awal pagi tadi, yang menyaksikan pendahuluan mereka kini hanya tiga mata, namun Barcelona berpeluang mendekatkan jarak dengan satu mata seandainya mengalahkan Real Valladolid, awal pagi esok.

Di sebalik kecemerlangan Jan Oblak menangkis sepakan penalti, ia sudah cukup buat pasukan di tangga keempat LaLiga itu mencipta kemenangan ke atas seteru terbabit sejak 2016 melalui tandukan Marcos Acuna pada minit ke-70.

Atletico hanya menang empat daripada sembilan perlawanan terakhir selepas selesa mendahului LaLiga pada awal musim ini.

Sehubungan itu, tekanan Simeone semakin memuncak apabila semakin dihimpit juara bertahan, Real Madrid, dan Barca.

"Kami perlu terus bekerja keras dan melihat apa yang harus diperbaiki," kata pengurus Atletico itu kepada wartawan.

"Saya mempersoalkan keamatan permainan kami dan kami perlu pastikan ia boleh dijelmakan semula kerana ia telah banyak membantu kami mencapai kemenangan dalam membuktikan bakat dan kemampuan skuad ini.

"Kami mempunyai tempoh seminggu untuk membuat persiapan jadi memandangkan ada beberapa pemain yang akan menjalani penggantungan, mereka tidak akan dapat beraksi. Maka kami akan cuba dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin -- kami hanya akan fokus kepada satu persatu perlawanan. Itu tidak akan ubah mental saya sama sekali.

"Kami sukar menelan apa yang telah terjadi hari ini tetapi kami juga harus menerima hakikat bahawa kami harus memperbaiki prestasi dan pada saat ini, ada statistik yang sangat negatif."

Atletico tewas dua dalam tujuh perlawanan terakhir LaLiga untuk menyamai rekod 40 perlawanan dengan menghasilkan 26 kemenangan dan 12 kali seri.

Simeone, bagaimanapun, menganggap kekalahan itu bukan dibayangi oleh sentuhan rakan sejawatannya, Julen Lopetegui.



"Sekiranya saya membuat perubahan pada awal 30 minit, itu kerana sebagai pengurus saya telah tersilap menganalisa perlawanan ini.

"Oleh kerana mula kami ingin menggunakan pendekatan berbeza, kami perlu berusaha melakukan sebanyak mungkin perubahan untuk memastikan kemaraan kami," kata Simeone.

"Saya fikir kami bertambah baik dalam babak kedua, kami jauh lebih kompetitif dan kami semakin dekat dengan apa yang mampu kami lakukan.

"Kami sedar ini mereka mempamerkan persembahan yang sangat bagus terutama dalam separuh masa kedua. Kami berpeluang menerusi Mario Hermoso malah peluang buat Angel Correa sudah terbentang luas.

"Kami adalah pasukan yang perlu memenangi perlawanan seperti ini dan kami menyedarinya. Mungkin ini berpunca daripada kesalahan saya sendiri kerana saya membuat keputusan yang salah sebelum perlawanan hingga barisan pemain berasa selesa. Dalam babak kedua, kami gagal memperagakan rentak sebenar."

Ketua pasukan Atletico, Koke, pula mengkritik pengadil kerana tidak menggunakan video bantuan pengadil (VAR) atas dakwaan bola terkena tangan Lucas Ocampos pada awal gerakan gol kemenangan lawan itu.

"Bola jelas terkena tangannya dan berlaku sekali lagi (oleh Diego Carlos) jadi ia sepatutnya menjadi kad kuning kedua," katanya.

"Kami mempunyai VAR untuk membantu. Hari ini ternyata bukan hari kami. Pada hari-hari yang lain, pengadil menyebelahi kami, hari ini nampaknya ia tidak berjalan lancar.

"Ini adalah kekalahan yang pahit untuk ditelan tetapi kami telah mencurahkan segala kudrat. Kami bergelut dalam separuh masa pertama tetapi dalam babak kedua kami mempunyai peluang."