Diego Simeone menandatangani kontrak baru yang bakal menyaksikan dia mengemudi Atletico Madrid dalam tempoh sedekad.

Pengurus berbangsa Argentina itu akan kekal di Atleti sehingga 2022 dan melanjutkan hubungan yang telah membawa kejayaan besar kepada kelab LaLiga itu.

Dengan koleksi kemenangan berganda Liga Europa serta kejayaan mengejut menjulang gelaran liga pada 2014, Simeone telah menjadikan Atletico sebagai pencabar konsisten dalam semua pertandingan.

Simeone mendedahkan bahawa dia tidak pernah bercadang untuk berhijrah ke tempat lain walaupun sering dikaitkan dengan bekas kelabnya, Inter.

"Kami teruja untuk mengharungi masa depan dengan penuh semangat serta menyahut cabaran besar yang menanti," kata Simeone kepada laman sesawang kelab itu.

"Saya melihat usaha yang dilakukan. Saya nampak orang di sekeliling terus berusaha untuk berkembang. Saya melihat harapan, saya melihat pemain muda yang boleh memacu kami dan saya tahu kami telah mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan terbaik.

"Peminat, pemain, pemimpin dan pengurus berjalan seiringan. Ini adalah kekuatan yang sangat hebat yang kami miliki sehingga ke hari ini dan kami akan mengekalkannya.

"Perjuangan ini perlu diteruskan seperti ketika kami memulakan kempen dengan menentang Malaga.

"Ketika itu, kami hanya memikirkan soal Malaga, dan sekarang ... kami beralih kepada Rayo Vallecano pula (lawan berikutnya)."