Diego Simeone memberikan lonjakan semangat buat juara LaLiga, Atletico Madrid, apabila melanjutkan kontraknya bersama kelab itu sehingga 2024.

Pengendali berbangsa Argentina itu sudah hampir 10 tahun mengendalikan Atletico sejak dilantik pada Disember 2011 dan sepanjang tempoh itu, dia telah membentuk Rojiblanco menjadi pencabar utama dalam saingan di Sepanyol dan Eropah.

Dia membantu Atletico bergelar juara liga pada 2014 dan tahun ini selain memenangi dua gelaran Copa del Rey dan Liga Europa.

Simeone juga membantu Atletico layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2014 dan 2016 tetapi tewas kedua-duanya kepada Real Madrid.

Kontrak jurulatih berusia 51 tahun itu sepatutnya tamat pada 2022 tetapi dia kini memilih untuk kekal lebih lama di kelab itu.

Atletico berkata dalam satu kenyataan: "Diego Pablo Simeone telah bersetuju menandatangani kontrak lanjutan sehingga 30 Jun 2024.

"Sejak pengendali berbangsa Argentina itu menyertai kelab ini pada 2011, kami telah menikmati fasa paling berjaya dalam sejarah kelab ini -- memenangi lapan trofi sepanjang proses itu.

"Setiap staf kejurulatihan juga telah menandatangani kontrak lanjutan sehinga 2024. Oscar Ortega, Pablo Vercellone, Nelson Vivas dan Hernan Bonvinvini juga telah memainkan peranan besar dalam kejayaan ini."