PORTO 1 ATLETICO 3

Diego Simeone berkata Atletico Madrid sentiasa mencari cara baharu untuk mengujakannya selepas pengurus skuad Colchoneros itu menikmati kemaraan dramatik pasukannya ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).


Atletico mengungguli perhitungan hidup dan mati itu 3-1 ketika menentang tuan rumah, Porto, awal pagi tadi bagi mengesahkan tiket ke fasa kalah mati.

Anak buah Simeone memerlukan kemenangan sambil berharap Milan gagal menewaskan Liverpool dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.

Antoine Griezmann, Angel Correa dan Rodrigo de Paul masing-masing menyumbangkan jaringan untuk memastikan juara LaLiga itu kemenangan yang menyaksikan tiga pemain dibuang padang -– Yannick Carrasco terlebih dahulu menempah hukuman itu sementara duo Porto, Wendell dan Marchesin, turut dibuang padang selepas aksi tegang yang menyaksikan tiga gol diledak selepas minit ke-90 perlawanan.

Simeone -- yang telah membimbing Atletico memenangi dua kejuaraan LaLiga selain dua gelaran naib juara UCL sepanjang tempoh sedekad di ibu kota Sepanyol itu -- cukup beremosi selepas wisel penamat ditiupkan.

“Saya telah berada di kelab ini selama 10 tahun dan pasukan ini sentiasa mengujakan saya dengan cara yang baharu,” kata pengurus Atletico itu.

"Kami menghadapi kesukaran kerana kehilangan tiga daripada empat pertahanan tengah tetapi pemain yang jarang mendapat peluang beraksi masih sangat penting buat kami. Hari ini tiba giliran Sime Vrsaljko, kami tahu dia mampu melakukannya. Begitu juga dengan Geoffrey Kondogbia.



"Seluruh pasukan terlibat dalam perjuangan ini. Mereka mencurahkan segala-galanya dengan sepenuh jiwa dan raga. Kami mempunyai seorang penjaga gol yang memperagakan ketangkasan pada saat-saat kesukaran. Dalam separuh masa kedua, jika pihak lawan menjaringkan gol daripada peluang yang ada, mereka akan menang.

"Hari ini adalah hari yang indah, hari yang hebat. Pemain pelapis berjaya memastikan kami layak dan saya juga mahu mara. Mereka menjadi pendorong untuk kami berjaya. Kami akan mengingati perlawanan ini sebagai salah satu aksi klasik UCL membabitkan kami, menentang sebuah pasukan yang hebat dalam satu perlawanan yang sukar. Kedua-dua pasukan memiliki persamaan.

"Perlawanan ini menceritakan segala-galanya -– insiden dibuang padang, peluang yang ada. Betapa indahnya bola sepak."