ATLETICO MADRID 2 GETAFE 0

Diego Simeone menjelaskan bahawa beliau sentiasa menghormati pendapat penyokong Atletico Madrid setelah beberapa penyokong tampil membantah tindakan kelab itu menandatangani Alvaro Morata.


Penyerang Sepanyol berkenaan akan menyertai kelab LaLiga itu menerusi perjanjian pinjaman berikutan perpindahan Gonzalo Higuain ke Chelsea daripada Juventus.

Penyokong Atleti menyuarakan bantahan mereka terhadap kesepakatan yang dicapai dengan bekas pemain Real Madrid tersebut semalam dengan sorakan 'kurang berminat dengan Morata, cenderung kepada Borja Garces' dalam kemenangan 2-0 ke atas Getafe di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Garces merupakan salah seorang penyerang muda dalam skuad Atleti B yang amat diminati penyokong selepas sentuhannya dibandingkan dengan Fernando Torres yang menyaksikannya meledak gol pertama liga ketika bertemu Eibar, September lalu.

Apabila ditanya mengenai bantahan itu, Simeone dalam sidang akhbar memberitahu: "Pendapat penyokong sentiasa dihormati, saya mahukan pemain yang ingin berkhidmat di kelab dan pasukan."

Nikola Kalinic diberi tepukan gemuruh ketika dikeluarkan dalam babak kedua berikutan pemain Croatia itu dijangka akan meninggalkan Atletico sebaik Morata tiba.

Simeone, bagaimanapun, enggan mengesahkan sama ada Kalinic akan terus bersama pasukan atau tidak.

"Saya selalu menyatakan pendapat tentang Kalinic," katanya. "Permainannya semakin berkembang. Dia berkelakuan baik dan mengerah segala kudrat dan bertindak balas terhadap keperluan pasukan."

Sementara itu, wujud kebimbangan bahawa Diego Godin akan diketepikan selepas dikeluarkan dalam babak kedua akibat masalah paha, namun Simeone tidak menganggap ia adalah kecederaan serius.

"Peminat sangat menyanjunginya," katanya mengenai pertahanan tengah itu. "Dia disukai kelab dan peminat. Dia dikeluarkan kerana berasa tidak selesa tetapi kami berharap tiada apa-apa yang serius."

Jaringan yang disumbangkan Antoine Griezmann dan Saul Niguez membantu Atleti kembali menghambat pendahulu liga, Barcelona, dengan jurang dua mata.