Diego Simeone menjangkakan Atletico Madrid akan berdepan cabaran getir apabila mereka berdepan Deportivo La Coruna kendalian jurulatih baharu, Pepe Mel, awal pagi esok.

Mel menggantikan Gaizka Garitano selaku ketua jurulatih di Riazor minggu ini dan akan berdepan finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu dalam tugas pertamanya dalam LaLiga.

Deportivo gagal memenangi sebarang perlawanan memasuki tahun 2017 dan empat kekalahan berturut-turut musim ini menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-17, dua mata di atas zon penyingkiran.

Atletico pula mahu bangkti daripada kekalahan 2-1 kepada Barcelona, Ahad lalu, di samping memastikan mereka kekal dalam kelompok empat terbaik liga, namun Simeone menjangkakan Depor akan turun dengan moral tinggi.

"Sukar berdepan pasukan yang menerima jurulatih baru," katanya. "Pemain yang kurang beraksi sebelum ini akan cuba memenangi hati pengendali baru dengan aksi mantap.

"Saya yakin mereka akan turun dengan penuh bersemangat. Mereka memiliki pemain berkualiti seperti Emre Colak dan Florin Andone.

"Kedudukan semasa mereka tidak mencerminkan kekuatan sebenar mereka.

"Pemain dan jurulatih perlu berada di landasan sama. Kita tidak boleh terlalu gembira ketika menang atau terlalu sedih ketika tewas."

Pertemuan pertama September lalu menjadi milik Atletico dengan kemenangan 1-0.