MALLORCA 0 ATLETICO 2

Diego Simeone memuji kepentingan Diego Costa selepas penyerang itu menamatkan penantian enam bulan untuk kembali meledak gol ketika Atletico Madrid mengatasi Mallorca 2-0 dalam saingan LaLiga.


Pemain kebangsaan Sepanyol, Costa, menanduk masuk hantaran silang Koke di Son Moix dan Joao Felix menggandakan jaringan untuk menamatkan tiga perlawanan Atleti tanpa sebarang kemenangan.

Costa tidak menjaringkan gol sejak kemenangan 4-0 ke atas Deportivo Alaves, Mac lalu, tetapi Simeone menurunkannya dalam perlawanan kelima berturut-turut dan berharap jaringan tersebut melonjakkan semula keyakinan pemain berusia 30 tahun itu.

"Kami mengetahui penyerang mahu menjaringkan gol," katanya.

"Jaringan tersebut baik untuk dirinya dan pasukan. Costa merupakan pemain penting Atletico."

Tewas 2-0 kepada Real Sociedad dan seri tanpa jaringan dengan Celta Vigo menyaksikan Atletico kehilangan mata, namun kemenangan ke atas Mallorca kembali meletakkan mereka di tangga kedua.

"Kami berusaha mempertingkatkan keseimbangan dalam pasukan. Kami bermain baik dalam separuh masa pertama dan Mallorca bangkit 45 minit berikutnya, namun setiap serangan berjaya diserap."