Axel Witsel mendedahkan hubungan dengan Diego Simeone telah membantunya untuk memuktamadkan keputusan berpindah ke Atletico Madrid.

Kelmarin, Atleti mengesahkan ketibaan Witsel secara percuma selepas empat musim dalam Bundesliga.

Pemain antarabangsa Belgium itu nampaknya akan menjadi satu lagi pilihan menarik buat Simeone yang sebelum ini kerap mengetengahkan Rodrigo de Paul di bahagian tengah bertahan.

Sambil menjelaskan hasratnya untuk terus beraksi di peringkat tinggi selepas meninggalkan Dortmund, Witsel menjelaskan kenangan Simeone terhadap persembahannya bersama Zenit ketika berdepan Atletico di Vicente Calderon menjadi gambaran bagaimana dia dihargai di kelab barunya itu.

“Saya memutuskan untuk ke mari kerana bagi saya ini adalah kelab terbaik,” katanya.

“Saya rasa Atletico Madrid adalah salah satu daripada lapan kelab terbaik di dunia dan saya benar-benar mahu kekal di peringkat teratas selepas berpisah dengan Dortmund.



"Saya sempat berbincang dengan Simeone beberapa minggu lalu, kami mempunyai perasaan yang sangat baik. Ketika bertemu dia memberitahu saya, 'Saya masih teringatkan awak sejak 2013', iaitu ketika saya masih mewakili Zenit di stadium lama.

"Saya tahu dia mahukan saya dalam pasukan dan saya rasa faktor ini sangat penting apabila anda tiba di sebuah kelab baru. Saya tidak perlukan sahabat saya, Yannick (Carrasco), untuk memujuk saya ke Atletico Madrid, dalam fikiran saya ia sudah jelas."

Pemain berusia 33 tahun itu mewakili keperluan Atletico selepas Hector Herrera memutuskan untuk mencari cabaran baru.