ATLETICO MADRID 1 REAL MADRID 3

Diego Simeone enggan untuk menyalahkan keputusan kontroversi sistem video bantuan pengadil (VAR) ketika Atletico Madrid tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam pertembungan LaLiga di Stadium Wanda Metropolitano, malam tadi.


Skuad Los Blancos itu meraih kemenangan pertama di gelanggang tersebut dengan Casemiro, Sergio Ramos dan Gareth Bale mencetak gol untuk pasukan itu melonjak ke tangga kedua bagi memintas seteru setempat berkenaan.

Antoine Griezmann terlebih dahulu memadam kelebihan awal pelawat, namun Madrid membuktikan mereka terlalu hebat untuk ditewaskan pasukan tuan rumah.

Namun, Atletico yakin tindakan Jose Giminez menjatuhkan Vinicius Junior berlaku di luar kotak penalti -- yang kemudian dijaringkan Ramos -- sebelum satu lagi keputusan VAR menafikan sepakan penalti milik mereka selepas Alvaro Morata dijatuhkan Casemiro dalam kawasan berkenaan.

Simeone, bagaimanapun, enggan menyalahkan sistem berkenaan dan menerima Madrid sebagai pasukan yang lebih layak menang.

"Saya tidak biasa bercakap tentang VAR," katanya kepada wartawan.

"Ia pasti akan dipertingkatkan demi kebaikan semua pihak.

"Saya yakin ia bukan penyebab kami tewas hari ini.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar di mana mereka pasukan yang lebih baik berbanding kami.

"Mereka memaparkan aksi yang amat hebat dan kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka," katanya.

Pemain Atletico mungkin berbeza pendapat dengan Simeone, namun pengendali itu berasakan dia tidak dapat memberikan jawapan itu kepada pemainnya.

"Insiden penalti (yang tidak diberikan) itu mempunyai kemungkinan untuk terjadi.

"Namun, saya bukan pemain, ia persoalan yang ditimbulkan mereka.

"Kita sudah menyaksikannya dalam Piala Dunia lalu bagaimana keraian selepas menjaringkan gol terganggu kerana sistem itu.

"Setiap pemain sepatutnya sudah terbiasa dengan perkara itu," tambahnya.