Diego Simeone memberikan amaran bahawa Atletico Madrid tidak boleh bersantai dalam perebutan gelaran LaLiga musim ini selepas kemenangan 2-0 ke atas Huesca awal pagi tadi kembali meletakkan mereka di tangga teratas.

Jaringan terbias Angel Correa dalam babak pertama dan satu gol daripada Yannick Carrasco pada 10 minit terakhir di Wanda Metropolitano membolehkan pasukan Atleti itu kembali berkelebihan tiga mata di depan pencabar terdekat, Real Madrid.

Atletico membelasah Eibar 5-0 hujung minggu lalu selepas hanya meraih satu mata dalam dua perlawanan terdahulu menentang Sevilla dan Real Betis.

Simeone sedar pasukannya tidak boleh leka dalam memburu kejuaraan musim ini dengan hanya enam perlawanan berbaki, termasuk kunjungan ke laman Athletic Bilbao hujung minggu ini.

Kemenangan 3-0 Real Madrid ke atas Cadiz semalam buat seketika telah menolak Atletico ke tangga kedua.

Ketua jurulatih Atletico itu berkata: "LaLiga amat kompleks, kami tidak boleh bersantai, esok kami akan bersiap untuk bertemu Bilbao."

Dia menambah: "Terdapat empat pasukan yang hampir dan mampu menamatkan saingan musim ini dengan hebat. Sevilla melakukannya dengan baik, Madrid memberikan respons dengan amat baik semalam dan Barcelona juga sudah mula bermain dengan baik.

"Kami mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan ia tidak akan berubah buat masa ini. Kami akan berfikir mengenai perlawanan selepas ini dan akan mencuba untuk meneruskannya."