Diego Simeone tidak akan mempedulikan undian Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu ini, apabila Atletico Madrid mengalihkan perhatian mereka kepada aksi LaLiga selepas mara ke suku akhir.

Atletico menempah tempat dalam kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara untuk musim keempat berturut-turut selepas meraih seri tanpa jaringan menentang Bayer Leverkusen di laman sendiri, awal pagi tadi, dan memperoleh kemenangan agregat 4-2.

Bayern Munich, Juventus, Barcelona, Real Madrid, Borussia Dortmund, Monaco, Leicester City dan Atletico, semuanya berada dalam balang untuk undian di Nyon, tetapi Simeone dan pasukannya hanya menumpukan perhatian terhadap lawatan skuad ketiga LaLiga, Sevilla, awal pagi Isnin ini.

"Kami sedang memikirkan hanya mengenai (perlawanan hujung minggu ini menentang) Sevilla," kata Simeone selepas perlawanan.

"Atletico tidak mempunyai apa-apa pengaruh (dalam undian), maka apa yang akan terjadi, ia akan jadi.

"Ini adalah satu langkah yang penting, tetapi ia hanya satu langkah.

"Liga Juara-Juara sentiasa istimewa dan ini adalah penting untuk kelab.

"Saya mahu menghargai usaha besar daripada kelab dan terutama daripada pemain, yang telah memberikan sepenuh hati dan jiwa mereka dan yang telah bertanding dalam semua jenis situasi dalam empat tahun ini."

Atletico berada di tangga keempat LaLiga, lima mata di belakang Sevilla, yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara, semalam.