Diego Simeone tidak berasakan Atletico Madrid gugup berada di tangga teratas LaLiga sehingga terikat 1-1 dengan Levante di Estadio Ciudad de Valencia awal pagi tadi.

Atletico kini berkelebihan enam mata di depan Real Madrid selain memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan tetapi mereka pasti kecewa kerana gagal memanfaatkan peluang untuk berada di kedudukan lebih selesa menerusi perlawanan terbaru itu.

Pasukan pelawat itu ketinggalan seawal minit ke-17 gara-gara gol permbukaan Enis Bardhi sebelum Marcos Llorente kembali menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauhnya yang terbias.

Skuad kendalian Simeone itu kemudian meningkatkan rentak mereka dan Angle Correa sepatutnya meletakkan mereka di depan pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, percubaannya ke arah gawang yang sudah tidak dikawal itu tersasar tetapi Simeone percaya pungutan satu mata itu amat adil buat kedua-dua pasukan itu, yang akan kembali bertemu hujung minggu ini.

"Tidak, saya tidak fikir ia (menjadi pasukan pilihan juara) akan memberikan kami perasaan gugup," jawab Simeone ketika ditanya soalan itu.

"Kami menentang satu lawan sukar yang beraksi baik. Mereka sudah meningkat daripada aspek pertahanan, amat teratur dan dengan output bola yang bagus.

"Kami beraksi baik dalam babak kedua, kami memperoleh peluang yang baik. Ia satu keputusan yang adil buat dua pasukan yang beraksi baik.

"Kami tidak perlu memenanginya dan kami hampir tertewas pada penghujung permainan susulan percubaan (Carlos) Clerc," katanya.