Selepas berkelana semusim dalam saingan Piala FAM, Sime Darby FC kembali ke Liga Perdana musim depan selepas menewaskan Felcra FC 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Petaling Jaya, hari ini.

Buat Felcra, ini kali kedua berturut-turut mereka kempunan ke kancah Liga Perdana selepas dikecewakan PKNP FC tahun lalu.

Terikat tanpa jaringan dalam pertemuan pertama sebelum ini, kedua-dua pasukan turun memburu kemenangan dalam aksi timbal balik bagi meraih tiket ke saingan Liga Perdana musim depan.

Aksi babak pertama, bagaimanapun, berlangsung hambar apabila tiada percubaan berbahaya dihasilkan sehinggalah tuan rumah, Sime Darby, memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-40.

Berpunca daripada satu serangan balas, kelekaan benteng akhir Felcra dihukum Zul Fahmi Awang yang mudah meletakkan bola ke dalam jaring untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.

Selepas rehat, penjaga gol Felcra, Syamim Othman, yang juga bekas penjaga gol Selangor terus dikerah menyelamatkan percubaan Sime Darby menerusi Zul Fahmi pada minit ke-58.

Selepas itu, giliran Felcra melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun jentera serangan yang ditunjangi N. Thanabalan gagal menemui penyudah sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan kemaraan Sime Darby ke final dengan agregat 1-0.

"Tahniah kepada pemain kerana melayakkan diri ke pusingan akhir tetapi ia bukan mudah kerana kami mendapat tentangan yang hebat daripada Felcra," kata jurulatih Sime Darby, Ahmad Yusoff.

Sementara itu, jurulatih Felcra, Rosle Mohd Derus, berkata: "Kami tidak gunakan peluang yang ada dan kami melakukan kesilapan-kesilapan yang agak mudah.

"Itulah bola sepak. Pasukan yang tidak melakukan kesilapan dan mengambil peluang, mereka akan menang."

Dalam pada itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut melangkah ke Liga Perdana musim depan selepas mara ke final Piala FAM.

Pasukan itu menundukkan Shahzan Muda 1-0 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke masa tambahan di Stadium Mini UKM, hari ini.