Pemain Manchester City, Bernardo Silva, mendedahkan bahawa bekas pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo, adalah individu yang menggalakannya untuk berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 23 tahun itu tiba di Etihad pada Mei lalu selepas memainkan peranan utama dalam laluan Monaco sepanjang saingan musim 2016/17, termasuk memenangi kejuaraan Ligue 1 serta layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia menyertai skuad kendalian Pep Guardiola itu menerusi transaksi perpindahan bernilai GBP43 juta (RM238 juta) dan menyifatkan Ronaldo adalah watak utama penghijrahannya itu.

“Ketika saya bersama skuad Portugal dalam saingan Piala Konfederasi dan dalam proses perbincangan bersama City, saya bertanya Ronaldo dan Nani tentang bandar Manchester.

“Mereka meyakinkan saya bahawa saya akan menikmati kehidupan di sini. Semua orang amat baik dan ia adalah sebuah bandar asli bola sepak. Begitu juga dengan EPL, sebuah liga yang kompetitif dan stadium dipenuhi orang ramai setiap minggu. Mereka menggalakkan saya untuk pergi,” kata Silva.

Silva adalah salah satu daripada tujuh pembelian Guardiola bagi menghadapi musim 2017/18 dan dia percaya pasukannya mampu mencabar setiap kejuaraan yang disertai.

“Sukar untuk memenangi UCL. Begitu juga EPL tetapi UCL adalah medan di mana semua kelab-kelab Eropah bersaing.

“Bagaimanapun, City masih belum memenanginya dan saya mahu mencipta sejarah buat pasukan,” tambahnya.