Bernardo Silva lega menamatkan kemarau jaringan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City meraih kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa.

Pemain kebangsaan Portugal itu meledak gol pertamanya dalam saingan EPL musim ini ketika berbaki 11 minit.

Pengendali Villa, Dean Smith, diarah keluar padang selepas dia membangkang jaringan Silva yang sepatutnya dibatalkan kerana Rodri berada di kedudukan ofsaid.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu jelas berada di kedudukan ofsaid ketika Mings mendapatkan semula kawalan bola tetapi pegawai perlawanan membenarkan jaringan tersebut kerana, fasa permainan baru telah dimulakan selepas pertahanan Villa menyentuh bola.

Jaringan Ilkay Gundogan menerusi sepakan penalti melengkapkan kemenangan City kepada sembilan perlawanan berturut-turut.

Ia merupakan jaringan pertama Silva sejak meledak gol ketika menang 5-0 ke atas Brighton and Hove Albion Julai lalu.


Dan ia merupakan gol pertamanta di Stadium Etihad dalam saingan EPL selepas 20 penampilan, kali terakhir meledak hatrik ke atas Watford pada September 2019.

"Sudah lama tidak menjaringkan gol," kata Silva.

"Saya sangat gembira. Ia tidak mengira siapa yang meledak gol tetapi saya sangat gembira kerana berjaya melakukannya."