Paris Saint Germain (PSG) akan kehilangan khidmat Thiago Silva dan Ander Herrera dalam perlawan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund di Paris awal pagi lusa.

Pertahanan tengah, Silva, cedera paha ketika tewas 3-4 kepada Bordeaux dalam Ligue 1 kelmarin dan berkemungkinan akan berehat selama tiga minggu.

Herrera pula, yang menjadi salah seorang penjaring ketika terikat 4-4 dengan Amiens pada 15 Februari lalu, mengalami kecederaan otot pinggul dan berisiko untuk berehat selama enam hingga lapan minggu.

Ia bermakna, kedua-dua pemain itu akan terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Dijon, Sabtu ini.

Mereka juga tidak akan beraksi ketika berkunjung ke Strasbourg pada 7 Mac ini selain perlawanan menentang Lyon dalam separuh akhir Coupe de France tiga hari sebelumnya.

Silva dijangka akan kembali diturunkan dalam perlawanan menentang Nice pada 15 Mac ini manakala Herera dijangka berehat hingga April depan.

Silva, 35, telah melakukan 30 penampilan dalam kesemua kejohanan buat skuad kendalian Thomas Tuchel itu musim ini.

Hererra, yang menyertai pasukan itu menerusi perpindahan percuma daripada Manchester United tahun lalu, sudah diturunkan sebanyak 18 kali buat juara Perancis itu.