Bernardo Silva menegaskan Manchester City memerlukan tuah jika mahu bersaing merebut kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Ketika bersama Monaco, Silva telah berjaya mara ke separuh akhir dan dia kini tidak sabar menantikan saingan ini bersama City untuk mencipta kejayaan.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Portugal itu melaungkan amaran cabaran sukar menanti mereka.

"Beraksi untuk City, perlu untuk memberikan yang terbaik untuk memenangi semua trofi," katanya.

"Sememangnya ia adalah tugas sukar untuk menjuarai UCL, tetapi jika anda tidak mencuba, anda tidak akan dapat menggapainya.

"Ia adalah satu kejohanan yang istimewa, tugas pertama adalah melepasi peringkat kumpulan, beraksi dalam pusingan kalah mati, ia adalah satu saingan yang berbeza.

"Beraksi di laman sendiri dan di tempat lawan, anda perlu mempamerkan permainan yang berbeza.

"Perkara yang saya belajar daripada musim lalu adalah anda memerlukan tahap keyakinan yang tinggi dan perlu mempamerkan aksi yang terbaik kerana UCL adalah saingan yang merumitkan. Anda memerlukan tuah untuk mara jauh."

City diundi dalam Kumpulan F bersama-sama Feyenoord, Shakhtar Donetsk dan Napoli.