'Silap langkah, kena denda', itu amaran jurulatih baru Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, buat pemain dan barisan kejurulatihan pasukan walaupun dia secara rasmi hanya akan bersama skuad Sang Badak selepas tamat aksi kedua Piala Malaysia nanti.

Kim Swee menyedari situasi berada dalam gelembung sukan menimbulkan banyak tekanan buat pemain.

Namun dalam usaha untuk memastikan kalendar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi saingan Piala Malaysia tidak terganggu, Kim Swee bertegas untuk isu ini.

Jika secara sengaja pemain mahupun pegawai melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) gelembung sukan, beberapa bentuk denda bakal menanti pemain dan pegawai terlibat.

"Didenda jika melanggar peraturan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MFL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," kata Kim Swee.

"Jika kesalahan yang dilakukan disengajakan, pihak pengurusan kelab akan mengenakan denda."