BOLOGNA 2 MILAN 4

Milan dipaksa bekerja lebih keras daripada yang diharapkan selepas mendahului awal Bologna yang beraksi tempang.


Selepas menutup separuh masa pertama dengan 2-0 sementara Bologna mengharungi permainan dengan 10 orang, Rossoneri cemas dalam babak kedua dalam pertembungan di Stadio Renato Dall'Ara sebelum menang 4-2, awal pagi tadi.

Stefano Pioli menganggap anak buahnya terlalu yakin ketika menuju waktu rehat dan bernasib baik untuk menang selepas Ismael Bennacer dan Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan pelawat.

"Kami bergelut kerana kami tersilap langkah dengan menganggap permainan ini sudah berakhir dengan kelebihan dua gol dan seorang pemain," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Mujur kami memiliki kualiti untuk bangkit dan kami memenangi perlawanan penting ini. Walaupun mendahului selesa tapi kami agak berterabur, kami terlalu panik.

"Dengan Ibra dan Olivier Giroud di depan, kami melakukan terlalu banyak hantaran silang, kami seharusnya menguasai bola dan menggerakkannya dengan lebih cepat. Dalam 10 minit pertama babak kedua, kami patut menguruskannya dengan lebih baik.

"Ia adalah satu kemenangan yang sangat penting. Kami juga sedar bahawa perlawanan selepas komitmen Eropah adalah sukar."





Selepas tewas 0-1 dalam Liga Juara-Juara (UCL) kepada Porto Khamis lalu, Milan kini menduduki tangga teratas Serie A.

Pioli menjelaskan Ibrahimovic sempat memberitahunya bahawa penyerang itu benar-benar keletihan, secara tidak langsung membuka peluang Bologna untuk bangkit dengan gol sendiri pada minit ke-49.

Musa Barrow kemudian menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum momentum Bologna terjejas sebaik Robert Soriano dilayangkan kad merah pada minit ke-58, sekali gus meninggalkan pasukan tuan rumah itu dengan hanya sembilan pemain.

Ibrahimovic, bagaimanapun, tetap bermain 90 minit penuh ketika memulakan perlawanan liga pertamanya musim ini. Golnya pada minit terakhir perlawanan memuktamadkan kemenangan mereka.

"Kami membuktikan bahawa kami selalu mempunyai kepercayaan, kami tidak akan pernah menyerah kalah," katanya lagi.

"Jelas timbul sedikit keletihan kerana terdapat ramai pemain yang hilang dan kami telah mengharungi begitu banyak perlawanan, tetapi mentaliti itulah yang membuat perbezaan dan kami ingin memenangi setiap perlawanan."