Sejak kepulangannya ke pangkuan Manchester United, ragam dan kerenah Cristiano Ronaldo tidak lekang daripada menjadi tumpuan media saban minggu.

Menurut laporan akhbar The Mirror, Ronaldo merupakan salah satu punca terbesar skuad United berantakan di sebalik tabir.

Dikhabarkan dia tidak lagi yakin dengan masa depannya bersama United dan sudah mula merancang bersama ejennya, Jorge Mendes, untuk mencari jalan keluar demi merealisasikan impiannya untuk kembali menjulang piala berprestij.

Salah satu alasan yang diberikan Ronaldo adalah kecewa dengan aspek taktikal dan strategi yang diterapkan oleh pengurus baru, Ralf Rangnick.

Ini sama sekali tidak mengejutkan kerana sejak sebelum ketibaan Rangnick lagi, sistem 'Gegenpressing' kepakaran pengurus berbanga Jerman itu yang menuntut usaha dan tekanan berterusan daripada pemain sudah diramalkan tidak sesuai untuk Ronaldo yang sudah agak berusia.

Dalam perlawanan-perlawanan United yang berkesudahan dengan kekalahan atau seri sebelum ini, Ronaldo seringkali dilihat terus menuju ke bilik persalinan dalam keadaan merengus dan tidak peduli akan sesiapapun di persekitarannya, termasuklah penyokong.

Terkini, dalam perlawanan menentang Brentford yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat United kelmarin, Ronaldo sama sekali tidak berselindung dalam menzahirkan kemarahannya akibat digantikan oleh Rangnick pada minit ke-71.

Dia bersungut, melemparkan jaketnya ke tanah dan kemudian dengan lantang bertanya "Mengapa saya ditukarkan?" kepada Rangnick.

Dalam temu bual pasca perlawanan, Rangnick dengan tenang menegaskan bahawa reaksi Ronaldo itu adalah sesuatu yang normal.

"Saya harus mengambil keputusan yang saya rasakan adalah terbaik untuk kelab dan pasukan.

"Saya tahu kamu mempunyai azam yang sangat tinggi dan mahu menjaringkan gol tetapi jika kamu berkesempatan untuk berada di tempat saya sebagai pengurus pada masa akan datang, saya harap kamu akan turut mengambil tindakan yang sama seperti saya hari ini," dedah Rangnick tentang apa yang dikatakannya kepada Ronaldo.






Rangnick menyambung lagi: "Saya tidak mengharapkan Cristiano untuk memeluk saya pun.
"Hakikatnya, pasukan kami perlu kekal kukuh sehingga ke minit-minit akhir perlawanan dan memastikan kami cukup stamina dan tenaga demi mempertahankan kelebihan jaringan yang kami perolehi.

"Saya tidak ada sebarang masalah dengan Cristiano, tetapi dia baru sahaja pulih daripada kecederaan kecil, tidak berlatih selama seminggu setengah manakala Marcus Rashford dan Anthony Martial pula sedia untuk beraksi.
"Saya akan tetap mengambil keputusan yang serupa jika diperlukan pada masa akan datang."

Kepulangan Ronaldo, bagaimanapun, bukanlah satu kesilapan.

Dia tetap kekal sebagai seorang pemain mantap dan mungkin sahaja menghadirkan perbezaan utama di antara satu musim yang berjaya untuk United dan satu musim yang gagal.

Malangnya, dia harus lebih profesional dan matang apabila melibatkan aspek-aspek tertentu.

Ronaldo berpeluang untuk meninggalkan satu legasi yang cukup disegani di kala United benar-benar memerlukan seseorang untuk membimbing mereka ke jalan kemenangan.




Namun, untuk berbuat sedemikian, dia haruslah menjadi seorang pemain yang dihormati kerana pencapaian dan sikapnya, bukan atas ego dan emosinya.

Tiada pemain dalam sejarah yang tidak pernah mengharungi perlawanan yang mendukacitakan, namun tindak-tanduk Ronaldo seolah-olah menunjukkan dia mempersalahkan semua orang lain atas kegagalan pasukan, dan bukan dirinya sendiri.

Sedarkah Ronaldo bahawa segala ragamnya ini berpotensi untuk menyumbang lebih lanjut lagi kepada krisis yang masih lagi belum United atasi?

Di saat Rangnick melepaskan jawatannya pada penghujung musim, adakah United perlu memastikan bahawa pengurus baru yang dilantik nanti perlu sebulu dengan Ronaldo demi membolehkan pemain bintang mereka itu kekal gembira?

Itu pun jika Ronaldo masih lagi kekal bersama United nanti.