Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, menyifatkan tiga faktor utama yang telah dikenal pasti menjadi penyebab kepada pasukannya menanggung malu dikecewakan Tok Gajah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, malam tadi.

“Pertama sekali, tahniah kepada Pahang kerana berjaya membawa balik tiga mata penuh dari Kota Bharu. Saya agak kecewa dengan persembahan pemain yang mudah leka, memberi peluang seluas-luasnya kepada lawan dan terlalu ambil mudah biarpun telah mendahului hasil jaringan Mohammed Ghaddar.

“Mereka berasakan pasukan sudah menang dengan satu gol tersebut dan mula melakukan kesilapan demi kesilapan. Akibatnya, Pahang berjaya mengambil kesempatan dengan menjaringkan dua gol,” katanya kepada media.

Zahasmi juga menyifatkan ketiadaan pemain tengah kreatif, Morgaro Gomis, akibat penggantungan permainan memberi kesan kepada keseluruhan persembahan The Red Warriors (TRW) malam tadi.

“Kita memang amat terasa kehilangan Gomis malam ini (tadi) dan Pahang menggunakan sepenuhnya kesempatan tersebut melalui gerakan cantik yang dilakukan pemain import mereka dari Korea Selatan, Jaewon Heo,” katanya.

Zahasmi percaya pemainnya akan bangkit semula menebus kekalahan ini apabila melayan pasukan Johor Darul Ta’zim, Jumaat ini.

“Kami akan lupakan kekalahan ini dan segera bangkit untuk memburu kemenangan apabila melayan JDT, Jumaat ini di gelanggang sendiri,” katanya.

Dalam aksi menarik semalam, Kelantan membuka jaringan melalui gerakan cantik penyerang import, Mohammed Ghaddar, pada minit ke-16 menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Muhd Azraie Wan Teh.

Pahang, bagaimanapun, membalas melalui dua jaringan cantik hasil sentuhan bekas pemain mereka, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, pada minit ke-60 dan penyerang import, Matheus Alves Leandro, selang dua minit kemudian.

Kekalahan keempat ini meletakkan TRW berada di tangga keenam carta Liga Super dengan 12 mata hasil daripada lapan perlawanan.