Sheffield United sah tergelincir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan kekalahan 0-1 kepada Wolves, awal pagi tadi.

Willian Jose menyudahkan umpanan Adama Traore pada minit ke-59 di Molineux untuk menghumban The Blades kembali ke kancah Liga Kejuaraan dengan baki enam perlawanan musim ini.

Tiada pasukan yang tersingkir daripada EPL dengan lebih banyak perlawanan tersisa -- Ipswich Town (1994-95), Derby County (2007-08) dan Huddersfield Town (2018-19) turut dihantar ke divisyen bawah dengan baki enam perlawanan.

Bulan lalu, The Blades memecat Chris Wilder, yang memimpin mereka daripada Liga Satu untuk meraih kedudukan kesembilan musim lalu, tetapi pengurus sementara, Paul Heckingbottom, gagal menyelamatkan kempen mereka.

Kekalahan kepada Wolves itu adalah yang ke-26 dalam kempen kali ini.

"Ini bukan mengenai keputusan," kata Heckingbottom kepada Sky Sports setelah kekalahan kepada Wolves yang menyaksikan mereka sekadar mengutip 14 mata daripada 32 perlawanan.



"Satu-satunya perkara yang dapat kami kawal ialah mutu persembahan sendiri. Kami boleh terus berbangga. Kami kehilangan satu elemen dalam perlawanan ini, itulah gambaran buat kami sepanjang musim ini.

"Anda hanya perlu melihat data fizikal EPL musim ini. Ia bukan kerana kurangnya usaha. Mereka sebaliknya akan mengerahkan segala kudrat dan anda boleh melihatnya malam ini.

"Ia mengenai satu detik. Kami memberikan peluang terbaik kepada Wolves sedangkan kami mempunyai deretan peluang menarik. Kami mempamerkan aksi berkualiti. Semua orang boleh melihatnya dalam separuh masa kedua.

"Kami mencipta detik terbaik kami, 20 saat selepas itu kami dibolosi. Musim ini kami tumpul dan itulah sebabnya kami menderita. Pada detik seperti itu, sedikit kualiti perlu ada untuk memenangi perlawanan ini.

"Di kubu sendiri pula, kami terlalu terbuka dan gagal menutup peluang itu. Itulah saat-saat Sheffield United menjadi sangat mantap sebelum ini.

"Kami bersaing di peringkat tertinggi. Jika kami gagal memanfaatkan peluang yang, liga ini tidak akan memberikan anda peluang kedua."