Pemain Manchester United, Luke Shaw, melabelkan aksi pasukannya ketika ditundukkan West Ham United sebagai sesuatu yang sangat teruk tatkala prestasi skuad The Red Devils itu kian parah.

United mengalami kekalahan ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini susulan ditewaskan West Ham 3-1 di London, sekali gus meningkatkan tekanan buat pengurus pasukan, Jose Mourinho.

The Red Devils bertandang ke tempat lawan berbekalkan motivasi yang sedikit terjejas selepas mereka
dikejutkan oleh Derby County dalam saingan Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti.

Persembahan yang dipamerkan United membuatkan Shaw melemparkan kata-kata pedas susulan aksi
di Stadium London itu.

"Jika anda mahukan kebenaran, saya rasa ia benar-benar satu malapetaka," kata Shaw.

"Kami tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menundukkan West Ham. Secara individu dan
berpasukan, saya rasa ia satu persembahan yang teruk.

"Ia tidak cukup. Sukar untuk menerimanya dan kami meminta maaf kepada penyokong di
atas apa yang mereka saksikan. Jelas sekali ia satu persembahan yang kurang memuaskan jika melihat
kemampuan dan bakat yang ada dalam pasukan," katanya.

"Sejak minit pertama, anda boleh lihat kami tidak mendapatkan bola kedua serta perebutan di udara.
Ia menjadi sukar dan jelas tidak cukup untuk kami. Situasi itu tidak seharusnya berlaku.

"Kami sepatutnya mengawal permainan sebegini, mencipta peluang, membuktikan kepada semua
bahawa kami benar-benar layak untuk mewakili Manchester United tetapi itu tidak berlaku. Ia satu
persembahan buruk daripada kami," tambahnya.

United -- kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester
City -- akan cuba mempamer kebangkitan menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah berdepan Valencia
di laman sendiri, awal pagi Rabu ini.