SWITZERLAND 6 ICELAND 0

Switzerland membelasah Iceland 6-0 dalam aksi pertama mereka di pentas Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi tatkala Xherdan Shaqiri memainkan peranan utama dalam pasukan.


Pemain sayap Liverpool itu menjaringkan gol ketiga pasukannya dan melibatkan diri dalam tiga jaringan yang lain selepas rehat, yang menyaksikan anak-anak buah Vladimir Petkovic mempamerkan kecemerlangan di St Gallen.

Steven Zuber memberikan tuan rumah pendahuluan selepas 13 minit permainan sebelum Denis Zakaria mencatatkan gol pertama di peringkat antarabangsa susulan daripada sepakan percuma Shaqiri yang terkena Fabian Schar.

Shaqiri meletakkan diri dalam senarai penjaring menerusi gol ketiga pasukannya pada minit ke-53 melepasi kepala Birkir Bjarnason yang mewakili Basel selama dua musim di pentas Liga Switzerland.

Haris Seferovic menghadiahkan tuan rumah gol keempat apabila menggelecek di dalam kotak penalti, mengutip bola tolakan daripada tumit Schar yang menerima hantaran Shaqiri sebelum penggempur Benfica yang melakukan penampilan pertama, Albian Ajeti, menjadikan kedudukan 5-0, empat minit kemudian.

Admir Mehmedi melengkapkan detik derita buat skuad yang mara ke suku akhir Euro 2016 itu dengan penyudah kemas hasil daripada gerakan serangan balas melibatkan Shaqiri dan pemain tengah Borussia Monchengladbach, Zakaria.

Kali terakhir Iceland melepaskan lima atau lebih gol adalah sewaktu tewas 5-2 di tangan Perancis dalam saingan Euro, dua tahun lalu.

Mereka tidak tewas 6-0 sejak aksi kelayakan Piala Dunia menentang Denmark pada 2001.