Pengendali baru Leicester City, Craig Shakespeare, berkata pasukannya berpeluang memenangi Liga Juara-Juara (UCL) menjelang pertemuan dengan Sevilla.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketinggalan 2-1 dalam aksi pertama pusingan kalah mati.

Menerima kunjungan Sevilla di Stadium King Power bagi aksi timbal balik, Shakespeare percaya jaringan Jamie Vardy di tempat lawan memberikan peluang buat mereka untuk mara ke suku akhir.

"Kami masih bersaing dalam UCL dan yakin mampu melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Kami perlu mencuba dan bersaing secara kompetitif," kata Shakespeare.

"Kami memiliki kelebihan ke atas mereka [Sevilla] dan kami akan cuba menggunakannya sebaik mungkin.

"Leicester perlu bersaing selama 90 minit ataupun dalam masa tambahan. Kami telah berlatih mengambil sepakan penalti dan bersedia dengan setiap cabaran yang menanti kami.

"Sevilla adalah pasukan yang berpengalaman bersaing di Eropah. Mereka memiliki pemain-pemain berbakat dan dikendalikan oleh seorang pengendail (Jorge Sampaoli) yang bagus."

Berdepan Sevilla merupakan perlawanan pertama Shakespeare selepas disahkan sebagai pengganti Claudio Ranieri sehingga penghujung musim ini.

"Saya sangat gembira dan bersedia untuk bersaing sehingga penghujung musim ini.