Pengendali Leicester City, Craig Shakespeare, kecewa dengan pemainnya yang membenarkan Marcus Rashford untuk menjaringkan gol menerusi 'set piece' tatkala pasukannya hampir mengutip satu mata di Old Trafford, malam tadi.

United melakar kemenangan 2-0 dengan pemain gantian, Rashford, dan Marouane Fellaini masing-masing melakar jaringan dalam tempoh 20 minit terakhir.

Gol tersebut hadir setelah penjaga gol, Kasper Schmeichel, mempamerkan aski penuh inspirasi di gawang apabila dia menyelamatkan sepakan penalti Romelu Lukaku.

Cara Rashford menghasilkan gol apabila dia tidak dijaga dalam kotak penalti ketika sepakan sudut, mencetuskan kemarahan Shakespeare.

"Kami mengecewakan mereka sepanjang perlawanan," Shakespeare bercakap kepada BT Sport.

"Apabila bertandang ke Old Trafford, sudah tentu mereka akan mendapat peluang getir untuk menghasilkan gol. Kami juga mendapat beberapa peluang tapi gagal disempurnakan.

"Buat masa ini, kami tampak lemah dalam senario 'set piece'. Kami perlu lebih tersusun.

"Penalti itu tidak seharusnya diberikan tetapi Kasper menyelamatkan gawang dengan baik. Ketinggalan 1-0 membuatkan moral pemain jatuh. Saya kecewa dengan keputusan ini."

Pemain pertahanan, Harry Maguire, turut senada selepas beraksi sepanjang 90 minit meskipun Shakespeare mendedahkan pemain itu mengalami kecederaan.

Maguire berkata: "Mereka melancarkan serangan bertubi-tubi mengikut jangkaan kami. Kami berjaya mengharunginya sehingga minit ke-70 sebelum kami dibolosi menerusi set piece.

"Bertandang ke Old Trafford tetapi membenarkan kami dibolosi menerusi sepakan sudut sememangnya mengecewakan."