Penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri Md Pauzi, tekad menamatkan kemarau jaringan menentang Sri Pahang di Kuantan malam ini.

Dalam masa sama, ketua jurulatihnya, Karsten Neitzel, tidak kisah dengan lambakan import Sri Pahang yang cuba mengelirukan The Red Giants untuk merangka strategi terbaik.

Situasi amat berbeza buat penyerang berusia 26 tahun itu apabila hanya mampu meledak satu gol selepas 11 perlawanan -- ironinya, ia merupakan gol sulungnya bersama "The Red Giants ketika menentang Sri Pahang 6 Mac lalu.

Shahrel yang meledak 10 gol bersama Perak dan merangkul anugerah penyerang terbaik tempatan musim lalu mengakui peranannya kini banyak berubah bersama Selangor, apabila bertindak sebagai pengumpan kepada rakan sepasukan, khususnya buat Ifedayo Olusegun yang kini selesa memimpin carta penjaring Liga Super dengan 11 gol.

Namun ia tidak bermakna ketajamannya di hadapan gawang semakin tumpul, kerana keutamaanya ketika ini adalah membantu Selangor meraih tiga mata.

"Itu telah ditugaskan oleh jurulatih, saya mengakui kemampuan Ifedayo dan saya bertindak sebagai pemain gantian bagi mengekalkan intensiti jentera serangan Selangor," kata Shahrel.

Selangor yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas PJ City FC tempohari bertandang ke Stadium Darul Makmur dengan skuad lengkap.

Karsten juga sudah menerima perkhabaran kehadiran tiga tenaga baru Sri Pahang, namun dalam masa sama, tiga import sedia ada, Lee Tuck, Hérold Goulon dan Pedro Oliveira masih menjalani latihan bersama Tok Gajah.

Namun pengendali kelahiran Jerman itu sudah siap melakukan 'kerja rumah' untuk memberikan arahan khusus kepada pemain dalam usaha mengelak kebangkitan Sri Pahang di laman sendiri.

"Kami mengetahui Sri Pahang telah membawa masuk pemain import baru namun kami mengekalkan pendirian kami dengan mempamerkan gaya permainan yang mahu diketengahkan Selangor," kata Neitzel.