Penyerang baru Selangor FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, mengakui sukar untuk meninggalkan Perak tetapi mendambakan trofi pertama dalam kariernya selepas sah mengikat kontrak bersama skuad The Red Giants itu semalam.

Shahrel Fikri, 26, yang lebih mesra dengan panggilan Eky, muncul pemain pertama diumumkan sebagai tonggak baru Selangor bagi musim 2021.

Penyerang kelahiran Sitiawan itu difahamkan mengikat kontrak selama dua tahun dan akan menyarung jersi nombor 10.

Selangor dikhabarkan sudah tiga tahun mendambakan khidmat penyerang kebangsaan itu dan ia akhirnya menjadi kenyataan menjelang saingan Liga Malaysia 2021.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Shahrel Fikri berkata: "Memang sudah lama mereka (Selangor) menyatakan hasrat untuk menandatangani saya dan tahun ini, mereka memang hendak sangat saya (sertai Selangor).

"Saya rasa telah menyertai satu pasukan yang sedang meningkat naik, jadi pemilihan saya untuk bersama Selangor tahun depan adalah tepat untuk masa depan dan karier saya," katanya.

Mengulas mengenai keputusannya untuk meninggalkan Perak, dia menambah: "Beratnya memang macam meninggalkan keluarga sendiri sebab saya sudah dua tahun bersama Perak dan sudah berkawan lama dengan semua pemain, kami seperti adik-beradik.

"Memang rasa sedih tetapi demi kerjaya, saya terpaksa melakukan perkara ini.

"Ini demi masa depan saya dan saya harap penyokong Perak dapat menerima keputusan saya.

"Sebagai pemain, kami perlu mempunyai motivasi untuk lebih ke depan dan perlu menghadapi setiap cabaran.

"Kita perlu percaya diri bahawa kita boleh ke depan dan saya mahu beraksi lebih baik bersama Selangor.

"Sasaran pertama saya bersama Selangor adalah kejayaan. Sepanjang karier saya, saya belum pernah merangkul apa-apa piala, jadi sasaran saya bersama Selangor adalah sekurang-kurangnya satu piala yang amat bermakna buat saya," katanya.