Penyerang Selangor, Shahrel Fikri Md Fauzi, mengesahkan dia sudah boleh melupakan sepenuhnya baki musim 2021.

Bekas tonggak Perak itu mengalami keretakkan tulang di bahagian fibula kaki kanannya dalam perlawanan berdepan Sri Pahang, awal bulan ini.

Dia pada awalnya dijangka berehat enam minggu tetapi atas nasihat doktor, dia perlu memanjangkan pemulihannya.

Ini bermakna dia bakal terlepas kempen Piala Malaysia bersama The Red Giants dan menerusi perkongsiannya bersama wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, termasuk tugasan bersama Harimau Malaya.

"Kalau masuk terlalu awal takut perkara yang tidak diingini terjadi, saya mungkin tidak dapat bermain bola selama-lamanya.

"Doktor cakap saya kena ambil masa lebih panjang dan mula berlatih tahun depan.

"Saya harap untuk kembali ke padang lebih awal, tapi sekarang saya mungkin terlepas Piala Malaysia dan Piala AFF hujung tahun ini," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.






Dia sudah pun menjalani pembedahan tetapi tahap mentalnya turut terkesan dalam pemulihannya.

"Kesakitannya sudah hilang, cuma hendak berjalan masih ada rasa takut, bimbang sakit semula dan bertambah teruk.

"Tidak baik untuk saya mengeluh jadi saya perlu terima keadaan ini."