Vincenzo Montella menyifatkan Lionel Messi sebagai "makhluk asing" tetapi yakin Sevilla mampu membawa Barcelona kembali berpijak di bumi nyata dalam final Copa del Rey, awal pagi esok.

Sudah berada di ambang gelaran LaLiga, Barcelona adalah pilihan hangat untuk meraih trofi domestik sulung musim ini di Wanda Metropolitano.

Begitupun, skuad Ernesto Valverde itu gerun terhadap Sevilla selepas pertembungan terakhir mereka dalam aksi liga bulan lalu yang menyaksikan Lionel Messi bangkit dari bangku simpanan untuk membantu keputusan dramatik seri 2-2.

Montella memberi amaran kepada barisan pemain Sevilla bahawa mereka tidak boleh membenarkan bintang handalan itu menyinar lagi pada hujung minggu ini sekiranya mereka berhasrat melakar kejutan di ibu kota Sepanyol itu.

"Barcelona merupakan pasukan hebat seperti yang kita lihat dalam LaLiga," kata bekas jurulatih AC Milan itu dalam sidang media.

"Mereka hampir memenanginya, maka mereka adalah pilihan, namun kami perlu memikirkan tentang diri sendiri selain sikap, kualiti serta kemahiran kami.

"Saya juga menganggap Messi adalah makhluk asing, saya harap dia dia berada di angkasa esok dan bukannya di Bumi. Kami perlu cuba mengelakkannya daripada menerima bola.

"Kami melihat peluang untuk menang ​​tetapi untuk merealisasikannya, kami perlu fokus dalam keseluruhan permainan dan tidak boleh kehilangan konsentrasi pada bila-bila masa.

"Saya mengharapkan permainan seimbang, ia akan diputuskan oleh butiran yang lebih kecil demi memastikan kami terus berjuang," tambahnya.