Presiden Sevilla, Jose Castro, mengesahkan bahawa kelab itu sedang berusaha untuk membawa pulang Ever Banega ke Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Banega meninggalkan Sevilla pada 2016 untuk menyertai Inter bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama, namun Nerazzuri hanya mengakhiri saingan di tempat ketujuh dalam saingan Serie A.

Ketika bersama Sevilla selama dua musim, pemain tengah itu menjuarai Liga Europa (UEL) sebanyak dua kali di bawah kendalian Unai Emery dan mereka kini dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Argentina itu semula.

"Dia telah meraih kejayaan bersama Sevilla dan merupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Kami tidak tahu sama ada Inter mahu melepaskan Banega tetapi jika dia membuat keputusan untuk kembali, kami menerimanya dengan tangan terbuka."

Sevilla turut dikaitkan bakal mendapatkan khidmat bekas pemain pinjaman dari Inter, Stevan Jovetic.

"Kami telah membuat tawaran kepada Inter untuk mendapatkan Jovetic.

"Tetapi saya tidak pasti jika Jovetic akan kembali bersama kami. Kami memerlukan penyerang sepertinya."