ATLETICO MADRID 3 VALENCIA 0

Diego Simeone berkata Atletico Madrid membuktikan komitmen mereka dengan menewaskan Valencia 3-0 tetapi menggesa agar pemain menganggap setiap perlawanan sebagai final ketika musim ini menghampiri kemuncaknya.

Atletico kini berada di tangga keempat dalam LaLiga dengan baki 12 perlawanan selepas Valencia ditewaskan dengan jaringan Antoine Griezmann dan Kevin Gameiro.

Skuad Simeone itu terikat 1-1 dengan Deportivo La Coruna dan tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Barcelona dalam perlawanan LaLiga sebelum ini, dan jurulatih itu berpuas hati dengan respons daripada pemain-pemainnya.

"Setelah bermain pada Khamis, kami bertindak balas dengan baik daripada segi fizikal dan mental, dan kami lihat apa yang perlu dilakukan. Pasukan meledak pada separuh pertama dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol.

"Selain kekalahan kepada Barcelona, kami bermain dengan baik, kami mengekalkan barisan, dan kami cuba untuk menjadi lebih kuat dalam setiap perlawanan.

"Setiap perlawanan adalah final dan kami akan melihat siapa memiliki kekuatan paling tinggi," katanya.

Simeone memuji pemain selepas mereka memastikan perlawanannya yang ke-200 sebagai jurulatih kelab itu berakhir dengan kemenangan.

"Secara jujur, saya tidak pernah membayangkan mendapat 200 perlawanan dengan kelab ini," katanya. "Saya gembira di mana saya berada, dan saya mempunyai sekumpulan pemain yang bersaing dengan hati selama lima tahun walaupun dalam kesukaran.

"Hari ini mereka telah membuktikan bahawa pasukan begitu komited. Saya berharap kami boleh mencapai tahap konsisten seperti yang diminta."

Penjaring gol, Griezmann, berkata pemain Atletico gembira kerana mempunyai Fernando Torres yang menyaksikan dari tempat duduk penonton selepas penyerang itu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan kepala ketika menentang Deportivo.

Dia berkata: "Saya sangat gembira dan senang dengan prestasi ini. Tugas ini perlu dijalankan. Kami mahu tiga mata, kami mahu bermain dengan baik dan itulah apa yang kami lakukan.

"Kami gembira Fernando bersama dengan kami dan berharap dia dapat kembali secepat mungkin."