Zlatan Ibrahimovic berasakan semua pemain Sweden berhak menerima anugerah Bola Emas di atas usaha mereka dalam Piala Dunia.

Sweden tersingkir daripada Russia 2018 semalam selepas tewas 2-0 kepada England, yang akan berdepan Croatia untuk merebut slot ke final.

Sweden, bagaimanapun, mengharungi kempen yang menakjubkan tanpa kelibat penyerang berbisa, Ibrahimovic, yang kagum dengan persembahan skuad bimbingan Janne Andersson itu.

"Setiap pemain Sweden patut menerima Bola Emas," kata Ibrahimovic.

"Apa yang mereka lakukan akan diingati selama-lamanya. Terima kasih di atas persembahan ini."

Sebelum pertembungan Sweden-England bermula, bekas pemain England, David Beckham, juga berjanji untuk membeli apa sahaja yang diingini oleh Ibrahimovic dari IKEA jika Sweden melakar kemenangan di Samara.