INTER MILAN 2 FIORENTINA 1

Mauro Icardi menegaskan dia tidak pernah gusar menantikan jaringan sulung dalam kempen Serie A musim ini selepas mengetuai Inter Milan meraih kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina, awal pagi tadi.


Icardi menjaringkan gol liga pertamanya musim ini menerusi penalti di San Siro dalam separuh masa pertama sebelum mengumpan kepada Danilo D'Ambrosio untuk jaringan kemenangan selepas gol sendiri Milan Skriniar mengimbangi kedudukan permainan.

Penyudah pemain berusia 25 tahun itu begitu tajam dalam kempen baru-baru ini -- menyumbat 53 gol liga dalam tempoh dua musim -- namun terpaksa menunggu sehingga penampilan kelima Serie A untuk memecah kebuntuannya pada musim 2018-19.

Icardi menegaskan bahawa dia tidak terkejut dengan permulaan lembabnya musim ini sambil melabel para pengkritiknya terlalu cepat untuk menilainya.

"Ada banyak yang perlu dilakukan tetapi kami mengambil langkah demi langkah dan kami perlu meningkatkan prestasi dari minggu ke minggu," katanya kepada Sky Italia.

"Kekurangan jaringan saya? Ada beberapa orang yang bercakap terlalu banyak di media sosial.

"Saya kemarau jaringan dalam empat perlawanan dan mereka mula membuat kecoh. Saya tenang, saya telah menjaringkan 120 gol dalam kerjaya dan saya tidak bimbang."

Ia kemenangan ketiga berturut-turut Inter dalam semua pertandingan, sekali gus menjulang skuad kendalian Luciano Spalletti itu ke tangga kelima Serie A -- namun mereka masih lima mata di belakang Juventus yang akan menjadi tuan rumah kepada Bologna, awal pagi esok.

Spalletti berkata beliau telah melihat banyak perkembangan di dalam pasukannya untuk menyambut Cagliari dalam aksi seterusnya.

"Pasukan ini bertambah baik dalam banyak aspek, terutama daripada segi mentaliti, keyakinan dan watak," katanya.

"Semuanya telah bertambah baik, terima kasih dengan keadaan fizikal mereka. Kami bermain dengan baik selain beberapa kesilapan di bahagian benteng.

"Fiorentina mencetuskan beberapa situasi mencemaskan tetapi kami mempunyai deretan peluang dan melakukan banyak perkara dengan baik.

"Mungkin kami tidak menterjemahkannya atas kesilapan hantaran akhir tetapi kami meraih mata yang diperlukan," katanya.