Amerika Syarikat (AS) akan menyertai Kanada dan Mexico untuk merebut hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2026, menurut ketua organisasi yang mengawal Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) kepada The Guardian.

Tawaran bidaan -- untuk temasya yang dijangka akan menambah bilangan pasukan pada tahun berkenaan -- dijangka dimuktamadkan dan dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tahun ini, kata Presiden CONCACAF, Victor Montagliani.

"Idea ini telah wujud untuk beberapa waktu melalui perbincangan berterusan dan ia adalah satu cadangan yang sangat menarik jika ia membuahkan hasil," kata Montagliani mengenai bidaan itu.

"Kami bersikap positif tentang hal itu dan ia adalah satu tanda yang sangat kuat apabila bola sepak boleh menyatukan negara."

Montagliani merujuk kepada perpecahan yang disebabkan oleh Presiden AS, Donald Trump, susulan janjinya dalam kempen pilihan raya mengenai cadangan membina dinding di sepanjang sempadan dengan Mexico.

Ditanya oleh The Guardian jika itu yang dirujuknya, Montagliani -- seorang pegawai eksekutif insurans dari Kanada yang dipilih sebagai presiden CONCACAF pada Mei tahun lalu -- berkata bola sepak perlu "bangkit" mengatasi isu politik.

"Sepatutnya bola sepak dan pemimpin bola sepak perlu mengatasinya," katanya.

Bidaan ketiga-tiga negara itu hadir ketika FIFA bersedia untuk mengubahsuai format acara empat tahun sekali itu pada 2026 dengan memperkenalkan sebanyak 48 pasukan akan bertanding yang melibatkan 80 perlawanan.

"Keputusan muktamad mengenai format tersebut akan diumumkan pada tahun ini," katanya lagi.

Keputusan tuan rumah yang akan dipilih hanya akan dibuat selepas Kongres FIFA pada Mei 2020.

Edisi Piala Dunia 2018 telah dianugerahkan kepada Russia dan Piala Dunia 2022 pula akan dianjurkan oleh Qatar.

Tawaran oleh CONCACAF untuk menganjurkan edisi 2026 -- yang meliputi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean -- akan menjadi pilihan utama.

Kali terakhir CONCACAF menjadi tuan rumah adalah pada 1994 di AS.