Lorenzo Insigne memberi amaran kepada Maurizio Sarri bahawa pengendali itu akan mengkhianati Napoli jika menyertai Juventus.

Masa depan Sarri sebagai ketua jurulatih Chelsea menjadi tajuk utama selepas terdapat laporan menyatakan dia bakal mengambil alih kerusi panas gergasi Serie A itu selepas Massimiliano Allegri tidak lagi bersama juara liga lapan kali itu.

Tetapi Insigne menggesa bekas pengendalinya itu supaya mengingati usahanya membantu Napoli menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik dan namanya terpahat dalam sejarah kelab berkenaan.

"Spekulasi ini semestinya membuatkan saya kurang senang," kata Insigne.

"Sarri telah melakukan banyak perkara kepada seluruh Napoli. Jika dia menyertai Juve, semestinya ia mengecewakan kami.

"Ia seperti satu pengkhianatan terhadap seluruh penyokong Napoli apabila ia dimeterai secara rasmi." katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu mewakili Napoli seluruh kariernya dan mempamerkan aksi terbaik ketika dibimbing Sarri.

Insigne menegaskan legasi yang ditinggalkan Sarri mampu tercalar jika dia bertukar kepada Bianconeri.

"Saya memohon maaf kerana memikirkan Sarri bersama Juve.

"Dia terlalu penting bagi saya kerana beberapa sebab. Saya berharap dia akan bertukar pandangan. Tetapi segala keputusan terletak kepadanya."