Pemain tengah Sepanyol, Koke, menyifatkan Isco akan menerima lebih banyak peluang beraksi jika menyertainya di Atletico Madrid.

Isco menjaringkan hatrik antarabangsa pertamanya ketika membantu skuad La Roja itu membenam cabaran Argentina 6-1 di Wanda Metropolitano, Selasa lalu.

Bagaimanapun, selepas perlawanan, pemain tengah Real Madrid itu menunjukkan reaksi tidak gembira selepas sering gagal mendapat perhatian pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane.

“Julen Lopetegui menunjukkan keyakinan kepada saya dalam beberapa minit. Saya tidak meraih perkara itu ketika di Madrid. Mungkin masalah itu ada pada diri saya, tidak tahu bagaimana untuk mencuri perhatian Zidane,” kata Isco.

Walaupun Lopetegui tidak mahu mengulas kenyataan bekas tonggak Malaga itu, Koke berasakan rakan sepasukannya itu bakal menikmati waktu bola sepak yang lebih menarik jika meninggalkan Santiago Bernabeu dan menyertainya di Atletico.

“Saya dapat menyaksikannya apabila kami beraksi bersama, dia bermain dengan sangat baik.

“Tahapnya sesuatu yang luar biasa. Saya tidak melihatnya selalu bersama kelab dan tidak tahu apa yang difikirkan Zidane tetapi saya sukakan Isco.

“Jika dia kurang mendapat peluang di sana, Atletico pasti mampu memberi jaminan buatnya,” ujar Koke.