AS Roma melengkapkan proses menandatangani Andrea Belotti secara ejen bebas dengan kontrak selama setahun.

Pemain kebangsaan Itali itu merupakan yang keenam menyertai Giallorossi dalam jendela perpindahan kali ini selepas Nemanja Matic, Mile Svilar, Zeki Celik, Paulo Dybala dan Georginio Wijnaldum.

Penyerang itu boleh melanjutkan kontraknya dengan pasukan gergasi Eternal City berkenaan selama dua tahun lagi tetapi ia bergantung kepada kriteria berkaitan prestasinya.

Belotti, yang meninggalkan Torino selepas kontraknya tamat pada Jun lalu, tiba selepas menghabiskan tujuh tahun bersama Il Toto, di mana dia menjaringkan 113 gol daripada 251 penampilan dalam kesemua kejohanan.

Pemain berusia 28 tahun itu akan memperkukuhkan jentera serangan skuad bimbingan Jose Mourinho berkenaan dan akan memberikan saingan buat Dybala, Tammy Abraham dan Eldor Shomurodov.

Belotti berkemungkinan dapat melakukan penampilan pertamanya bersama Roma apabila Giallorossi melayani kunjungan Monza dalam aksi Serie A di Stadio Olimpico awal pagi Rabu ini.