Sergio Ramos sah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara perpindahan percuma selepas meninggalkan Real Madrid.

Pemain berusia 35 tahun itu meninggalkan Madrid sebaik kontraknya tamat tempoh selepas membantu skuad Los Blancos itu memenangi lima kejuaraan LaLiga dan empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang 16 tahun di ibu kota Sepanyol itu.

Ramos, yang mahukan kontrak lanjutan dua tahun daripada Madrid, berkata bulan lalu bahawa dia telah ditawarkan kontrak setahun daripada kelab berkenaan sebelum memilih untuk menolaknya.

Dia kini sah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama PSG untuk bergandingan dengan pemain yang menjadi sasaran Madrid, Kylian Mbappe, dan seteru lama, Neymar, di Paris.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, berkata: "Paris hari ini mengucapkan selamat datang buat pemain terhebat zaman ini. Kami gembira untuk mengumumkan bahawa Sergio Ramos akan menyertai kita.

"Sergio seorang pemain bola sepak yang sempurna, salah seorang pertahanan terbaik dalam sejarah. Dia dilahirkan untuk menjadi seorang pesaing, pemimpin dan profesional yang hebat.

"Dia mempunyai pengalaman dan impiannya merupakan sesuatu yang harmoni buat kelab ini. Saya berbangga untuk melihatnya memakai jersi Paris Saint-Germain dan saya tahu semua peminat akan menyambut baik kehadirannya," katanya.


Ramos menambah: "Saya amat gembira untuk menyertai PSG. Ia satu perubahan besar dalam hidup saya, satu cabaran baru dan hari yang tidak akan saya lupakan.

"Saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada projek bercita-cita besar ini, untuk menyertai pasukan ini dan pemainnya.

"Ia merupakan sebuah kelab yang sudah terbukti di peringkat tertinggi dengan asas yang kukuh. Saya mahu terus berkembang di Paris dan berharap dapat membantu pasukan ini memenangi gelaran," katanya.