Sergio Ramos berikrar akan kembali ke Real Madrid pada suatu hari dalam satu ucapan perpisahan beremosi sebaik pengesahan akan mencari kelab baru pada musim akan datang.

Madrid mengumumkan bahawa kelab itu akan mengadakan majlis sidang akhbar dan perpisahan pada hari berikutnya sebaik masa depan Ramos akhirnya dimuktamadkan.

Kontrak pemain berusia 35 tahun itu akan berakhir pada hujung bulan ini dan spekulasi hala tujunya berlegar sepanjang 2020-21 berikutan kesulitan rundingan kontrak gara-gara kecederaan dan COVID-19.

Desas-desus mengenai perpindahannya semakin hangat apabila Ramos dikaitkan bakal angkat kaki susulan Madrid enggan memenuhi terma kontraknya.

Dengan kedua-dua pihak sudah mengesahkan bakal meleraikan ikatan mereka itu, Ramos berlinangan air mata memandangkan telah menempuhi 16 tahun luar biasa di Santiago Bernabeu yang menyaksikannya memenangi empat mahkota Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya tiba di sini pada hari pertama dengan ditemani ayah dan abang saya. (Ketika itu) saya baru berusia 19 tahun, bagaikan seorang kanak-kanak dan sekarang saya mempunyai keluarga yang luar biasa, seorang isteri dan empat anak," katanya dalam ucapan yang dituju khas kepada pegawai kelab dan pekerja.




"Saya tiba di sini dengan keluarga saya dan saya akan pergi bersama mereka yang selalu ada di samping saya. Terima kasih kepada mereka kerana sering bersama saya ketika saat jatuh dan bangun, buat semua yang lain atas rasa hormat dan kadang-kadang ia didorong tekad saya.

"Buat presiden (Florentino Perez), jurulatih dan rakan sepasukan, tanpa anda segalanya tidak mungkin menjadi kenyataan. Begitu juga kepada pekerja kelab ini. Adalah sukar untuk tidak dapat melihat anda lagi dan perasaan ini sarat dengan emosi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong, sayangnya tidak mungkin saya boleh kekal di sini selama-lamanya. Anda akan sentiasa mendapat tempat di hati saya.

"Saya harap kelab ini terus menikmati kejayaan. Ini adalah satu pengalaman yang unik, saya tidak akan mengalami perkara yang serupa lagi tetapi saya teruja untuk satu lagi bab lain dalam hidup saya.

"Saya mahukan lebih banyak gelaran lagi dan saya berharap dapat beraksi selama beberapa tahun lagi. Ini bukanlah satu tanda perpisahan tetapi jumpa lagi tidak lama lagi kerana saya akan kembali suatu hari nanti."