MANCHESTER UNITED 2 SWANSEA 0

Romelu Lukaku mengakui ia seperti "mimpi jadi kenyataan" untuk meledak gol ke-100 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi tidak akan berpuas hati sehingga berjaya menjuarai gelaran bersama Manchester United.


Pemain kebangsaan Belgium itu meraih gol yang ke-100 itu selepas membuka jaringan ketika membantu United melakar kemenangan 2-0 ke atas Swansea di Old Trafford, semalam.

Pemain berusia 24 itu menjadi pemain kelima termuda untuk melakukan kejayaan itu dalam saingan EPL tetapi menegaskan kerja keras masih lagi perlu dilakukan selepas meletakkan sasaran untuk merangkul kejuaraan bersama pasukan.

"Saya sangat gembira, ia seperti mimpi jadi kenyataan tetapi kami masih lagi sedang berusaha untuk memenangi gelaran buat pasukan.

"Kejayaan ini adalah baik untuk kepuasan diri sendiri tetapi saya mahu mencipta kejayaan untuk kelab," katanya.

Alexis Sanchez menghasilkan jaringan kedua buat United, sekali gus memberi kemenangan keempat berturut-turut dan kembali ke tangga kedua liga.

Bekas penyerang Everton itu turut gembira di atas persembahan United dan memuji David de Gea yang menafikan dua percubaan Tammy Abraham dalam babak kedua perlawanan.

"Pengurus (Jose Mourinho) memberitahu semua orang perlu bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Kami cuba memberikan tekanan sejak permulaan perlawanan, menjaringkan gol awal dalam perlawanan ini.

"Kami telah menghasilkan banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya. De Gea telah memastikan kami tidak dibolosi dalam perlawanan ini," kata Lukaku lagi.