VELEZ SARSFIELD 0 FLAMENGO 4

Juara dua kali Copa Libertadores, Flamengo, sebelah kaki ke penentuan gelaran benua itu selepas kemenangan dominan 4-0 di tempat lawan ke atas kelab Argentina, Velez Sarsfield, dalam perlawanan separuh akhir pertama sebentar tadi.

Pedro melakar hatrik buat kelab Brazil itu untuk menjadikan pungutan kempen Copa musim 2022 kepada 11 gol sekali gus menutup mulut penyokong di Buenos Aires.

Flamengo menyumbat dua gol sebelum rehat dengan Pedro membuka jaringan pada minit ke-32, sebelum membutirkan dua gol lagi dalam setengah jam terakhir termasuk daripada sentuhan penyudah Everton Ribeiro.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah juara 2019 berkenaan dalam kejohanan tahun ini apabila memenangi 10 daripada 11 perlawanan selain hanya dibolosi sekali dalam lima perlawanan di peringkat kalah mati.

Perlawanan kedua akan berlangsung di Rio de Janeiro, Khamis depan, dengan pemenang akan menentang sama ada Palmeiras atau Athletico Paranaense dalam perlawanan akhir di Guayaquil, Ecuador, pada 29 Oktober depan.