Julen Lopetegui berkata Sepanyol berpuas hati mengikat juara dunia, Jerman, 1-1 dalam perlawanan ujian, awal pagi tadi.

Gol antarabangsa kedua Rodrigo Moreno memberikan Sepanyol kelebihan awal di Dusseldorf, namun Thomas Muller menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras.

Kedua-dua pasukan, yang merupakan pemenang dua edisi terakhir Piala Dunia, memiliki peluang seimbang untuk memenangi perlawanan, begitupun David de Gea lebih sibuk di depan pintu gol apabila tangkas menepis percubaan Julian Draxler dan Ilkay Gundogan.

Bagaimanapun, Lopetegui mengingatkan semula kekuatan Jerman yang menyaksikan mereka belum tewas sejak kekecewaan dalam Kejohanan Euro 2016.

"Jerman adalah pasukan yang lebih mantap dan pantas," kata Lopetegui.

"Mereka lebih selesa dalam peralihan permainan berbanding kami. Kami bermain dengan kelebihan dan kepantasan dalam tempoh 30 minit pertama, kemudian kami mengelaknya.

"Mereka berlari dan itu menjadikan mereka lebih berbahaya, begitupun kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua.

"Ini adalah perlawanan yang menghiburkan buat penyokong dengan aksi terbuka, masing-masing dengan gaya tersendiri dan ramai pemain yang hebat. Ini merupakan persembahan yang baik.

"Bermain menentang pasukan terbaik di dunia adalah cabaran yang sangat bagus, kami telah melakukannya, kami yakin dengan kemampuan kami.

"Saya yakin dalam kempen Piala Dunia Russia nanti, situasi pasti berbeza. Bagaimanapun, kami tidak menganggap perlawanan ini sebagai aksi persahabatan, sebaliknya dengan keinginan dan cita-cita."

Sepanyol turun tanpa Sergio Busquets akibat kecederaan sambil ketua pasukan, Sergio Ramos, membuat penampilan ke-150 di peringkat antarabangsa.

"Kami kehilangan Busquets," tambah Lopetegui. "Thiago (Alcantara yang mengambil peranan Busquets) beraksi baik selepas beberapa kali diketepikan.

"Terdapat beberapa perkara-perkara yang sangat positif hasil daripada permainan ini dan kami berpuas hati, cabarannya menarik dan kami dapat bersaing," katanya lagi.