Julen Lopetegui telah dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Sepanyol ketika Piala Dunia 2018 berbaki satu hari lagi.

Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, mengesahkan pemecatan itu dalam sidang media di Krasnodar, hari ini.

Rubiales mendakwa beliau tidak mempunyai pilihan selepas Lopetegui diumumkan bakal mengambil alih Real Madrid hasil persetujuan yang telah dilakukan tanpa pengetahuan RFEF.

"Kami telah dipaksa melepaskan jurulatih itu dan menghargai setiap jasa yang telah dilakukannya untuk pasukan ini,” katanya.

"Bagi RFEF, skuad kebangsaan adalah sebuah pasukan dan sesuatu keputusan perlu diambil. Kami perlu memberikan mesej yang jelas.

"Real Madrid mencari jurulatih dan melihat kepada yang terbaik. Saya tidak akan menilai sesebuah kelab mengenai bagaimana mereka melakukan tugas mereka. Kami langsung tidak tahu-menahu mengenai perkara ini dan hakikat ini tidak boleh diabaikan begitu saja.

"Saya mengetahui tentang perkara ini lima minit sebelum Real mengumumkan jurulatih terbaru mereka," ujarnya.

"RFEF perlu bertindak balas kerana kami mempunyai tanggungjawab yang besar."

Di sebalik kemelut itu, Rubiales menegaskan skuad kebangsaan Sepanyol meletakkan tumpuan sepenuhnya kepada aksi berdepan Portugal di Sochi pada Jumaat ini.

"Ia merupakan satu kehilangan buat kami tetapi kami perlu berlatih dan melihat ke hadapan.

"Pemain-pemain meletakkan tumpuan penuh dan sedia memberikan komitmen 100 peratus," katanya lagi.

Sementara itu, Fernando Hierro akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Sepanyol sepanjang kempen Piala Dunia Russia kali ini.