Jan Vertonghen berkata dia mahu mempelajari bahasa lain tatkala pertahanan Tottenham Hotspur itu memberi bayangan akan berpindah apabila kontraknya tamat pada penghujung musim ini.

Vertonghen, 32, dikaitkan dengan perpindahan keluar daripada Spurs, kelab yang disertai daripada Ajax pada 2012, apabila kontrak tamat.

Pemain Belgium itu tidak menolak untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris tetapi berkata Sepanyol dan Itali merupakan antara pilihan sambil Inter Milan dikatakan berminat dengan khidmatnya.

"Saya mahu menyertai kelab yang tepat. Ia mungkin Spuprs atau kelab lain," katanya.

"Apa pun, ia perlu kelab yang memiliki cita-cita. Saya mahu terus beraksi di Eropah kerana skuad kebangsaan penting untuk saya."


Dia menambah: "Saya gembira untuk mempelajari bahasa lain. Sepanyol dan Itali merupakan antara pilihan.

"Tempoh kontrak yang ditawarkan kepada saya juga memainkan peranan."

Wabak coronavirus dilihat bakal memberi kesan kepada banyak kelab daripada segi kewangan dan jendela perpindahan.

Namun, Vertonghen berkata situasi itu membantunya, mendedahkan terdapat minat yang lebih jelas disebabkan Covid-19.

"Ia mungkin kedengaran agak gila tetapi sejak krisis coronavirus, terdapat lebih banyak pasukan berminat," tambahnya.

"Saya adalah ejen bebas dan sesetengah kelab hanya memiliki dana yang kecil untuk dibelanjakan."